PETALING JAYA: Atlet wanita negara, Emma Firyana Saroji, mencipta sejarah tersendiri apabila muncul juara dalam acara Singles di Kejohanan Boling Padang Piala Dunia 2025, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.
Aksi penentuan pingat emas yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara pada Ahad menyaksikan Emma tampil tenang dan berwibawa dalam perlawanan sengit menentang pemain England, Kathrine Rednall.
Emma, yang kini berada di ranking ke-12 dunia, mempamerkan ketahanan mental luar biasa apabila set pertama berakhir dengan keputusan seri 5-5, memaksa perlawanan dilanjutkan ke set penentuan.
Emma dilihat tenang dan fokus ketika melontar boling padang, sebelum meraih kemenangan berharga yang membawa pulang emas buat negara.
Kejayaan itu bukan sahaja menjadi detik manis buat Emma, malah menjadi simbol kebanggaan buat seluruh rakyat Malaysia yang menyaksikan kehebatan anak tempatan bersaing di pentas dunia.








