KUALA LUMPUR: Landskap politik telah berubah dengan pengundi semakin matang dan mampu membezakan antara ahli politik yang sekadar memburu undi atau segelintir yang memikirkan generasi akan datang.
Penganalisis politik, Liyana Marzuki berkata dalam politik, wujud dua bahan utama iaitu substans dan sentimen yang mempunyai neraca berbeza.
“Substans merangkumi dasar, angka, kesan jangka panjang dan analisis terperinci. Sentimen pula bermain dengan emosi: marah, takut, bangga, trauma atau nostalgia.
“Substans biasanya panjang dan perlu dibaca. Sentimen cuma tiga perkataan, tapi cukup untuk buat orang rasa terancam atau terselamat,” ujarnya menerusi Facebook baru-baru ini.
Beliau turut menyentuh hakikat psikologi politik manusia membuat keputusan dengan emosi dan mempertahankannya dengan logik. Justeru, yang sering dijual dalam kempen bukan penyelesaian, tetapi perasaan.
“Ahli politik fikir pilihan raya seterusnya. Negarawan fikir generasi seterusnya,” katanya.

Beliau turut berkongsi pengalamannya selama 12 tahun sebagai penjawat awam yang menyaksikan secara dekat pertembungan antara “substans” dasar dan “sentimen” politik sekali gus menegaskan pengundi Malaysia kini semakin matang menilai kedua-duanya.
“Kami bekerja dalam diam menyediakan substans. Ada yang perlu dimasukkan dalam Akta, ada angka dan data untuk Menteri jawab di Parlimen. Tetapi dalam masa sama, pihak politik perlu berdepan sentimen dan propaganda.
“Apa yang berlaku di belakang pentas berbeza. Selepas perbahasan, wakil rakyat sama secara santai meminta projek daripada Menteri, dengan alasan agensi tidak mampu melaksanakannya,” katanya.
Liyana menegaskan rakyat bukan tidak memahami isu dasar atau fiskal, tetapi keletihan dan tekanan kos sara hidup menjadikan emosi lebih dominan berbanding graf ekonomi.
“Bila orang penat, mereka tak tengok graf fiskal. Mereka nak tahu harga ayam.
“Emosi boleh memenangi pilihan raya, tetapi hanya substans boleh mentadbir negara.
“Moga kita cukup waras untuk membezakan kedua-duanya,” katanya.
Baca juga:








