BANTING: Suasana cemas melanda Kawasan Perindustrian, Jalan 5 Kampung Olak Lempit, Banting apabila empat kilang terbakar dalam kejadian malam tadi, mengakibatkan dua daripadanya musnah sepenuhnya.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada pukul 10.03 malam.
“Kebakaran melibatkan sebuah kilang memproses minyak dan berlaku letupan dalam premis berkenaan.
“Pemadaman dilakukan secara ‘defensive’ bagi mengawal api daripada merebak,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Pasukan bomba bertindak pantas melakukan kerja ‘firebreak’ bagi menghalang api daripada merebak ke kilang berhampiran.
Namun, pada pukul 1.15 pagi, kebakaran turut dilaporkan melibatkan dua kilang lain.
“Kebakaran membabitkan dua kilang musnah 100 peratus, manakala dua kilang lain masing-masing terbakar lima dan satu peratus.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat,” kata Ahmad Mukhlis.
Operasi pemadaman melibatkan kekuatan dari BBP Banting dengan bantuan pasukan dari BBP KLIA, Dengkil, Cyberjaya, Bangi, Petaling Jaya, Presint 7 Putrajaya serta BBP Nilai, Negeri Sembilan.
Turut membantu ialah Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sri Serdang dan PBS Rantau Panjang, selain sokongan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan keselamatan serta kesihatan awam di lokasi terkawal.
Walaupun dua kilang musnah sepenuhnya, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.
Pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kebakaran dan memastikan kawasan perindustrian tersebut kembali selamat.








