Oleh: Tyah Helmi
‘KONSERT Keluarga’ pertama di Malaysia dengan penampilan empat figura tanah air negara iaitu Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri dan Syamel buat julung kalinya dalam satu persembahan dinamakan Empat Live In Kuala Lumpur 2025.
Lebih mengujakan, empat figura ini adalah penghibur kesayangan Malaysia yang mempunyai pertalian darah dan ‘bersatu’ dalam jalinan institusi kekeluargaan.
Empat Live in Kuala Lumpur merupakan konsert adik beradik Ziana dan Anuar Zain bersama anak saudara mereka, Ernie Zakri serta suami Syamel.
Difahamkan, konsert mega terbabit bakal dilaksanakan pada 18 Oktober ini di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.
Kata Anuar Zain, konsert pada kali ini bukan sekadar lambang cinta, kasih dan sayang serta silaturahim malahan memaparkan bakat hebat Malaysia daripada generasi dan usia berbeza yang perlu diraikan.
“Ini adalah sebuah projek yang sangat mengujakan kerana tidak ada salah seorang pun daripada kami pernah terfikir bahawa takdir membawa kami, saya dan kakak, Ziana serta anak buah kami Ernie dan suaminya, Syamel akan terlibat dalam industri yang sama sebagai penghibur dan bakal menghiburkan anda diatas satu pentas.
“Konsert Empat Live In Kuala Lumpur 2025 ini bukan tentang kami tapi tentang ikatan kekeluargaan, bakat yang diraikan dan cara kami menghargai sokongan peminat daripada semua generasi terhadap karya-karya yang pernah dan bakal dilahirkan.
“Kami dengan rendah hati berharap agar semua peminat dapat menikmati ‘Empat Live In Kuala Lumpur 2025’ dengan ‘semangat cinta dan kasih sayang’ yang besar untuk satu sama lain,” ujarnya lagi dalam kenyataan media.
Ziana Zain turut berkongsi rasa yang sama dengan mengharapakan konsert itu akan menjadi temasya meraikan cinta antara beberapa generasi bersama peminat-peminat yang hadir.
“Saya juga tidak mahu menjanjikan sesuatu yang luar biasa tapi datanglah dan menikmati Empat Live In Kuala Lumpur 2025 dengan sebaiknya. Saya mahu peminat pulang daripada konsert kami yang penuh magis dengan momen yang indah.
“Konsert ini juga akan menjadi bukti bahawa peminat kita tidak hanya menyokong seorang sahaja penyanyi kegemaran mereka tetapi selalu memberi dukungan kepada industri muzik tempatan,” kata Ziana Zain.
Dalam kenyataan bersama, Ernie Zakri menzahirkan rasa debar kerana tidak bekerja dalam skala besar bersama Ziana Zain dan Anuar Zain.
“Malah saya menangis selepas dilamar merealisasikan Empat Live In Kuala Lumpur 2025 bersama ibu dan bapa saudara saya yang selama ini sangat saya kagumi dengan membesar melihat bagaimana mereka berusaha keras untuk berjaya.
“Empat Live In Kuala Lumpur 2025 adalah sebuah impian saya dari sejak lama lagi dan bakal menjadi realiti tidak lama lagi,” ujar Ernie yang berterima kasih kepada Anuar Zain Network.
Suami tercinta Ernie Zakri iaitu Syamel juga menyifatkan pembabitan dalam Empat Live In Kuala Lumpur 2025 juga sebagai sebuah mimpi menjadi kenyataan. Apatah lagi sebagai ‘keluarga baharu’ pesohor legenda tanah air, dirinya berasa karier seninya telah naik ke satu tahap yang lebih baik melalui peluang keemasan ini.
“Ziana Zain, Anuar Zain dan Ernie Zakri masing-masing adalah legenda.
“Justeru, apa yang saya lihat dengan kerjasama kami berempat dalam Empat Live In Kuala Lumpur 2025 menerusi energi masing-masing boleh membuahkan konsep persembahan yang menarik,” kata Syamel.
Konsert ini diarahkan oleh pengarah berpengalaman Jennifer Thompson manakala muzik akan dipimpin oleh Sze Wan bersama barisan pemuzik profesional.
Orang ramai boleh menyerbu untuk membeli tiket konsert bermula 25 April 2025 pada jam 10.00 pagi menerusi laman web rasmi www.ticket2u.com/empatkl.
Tiket Empat Live In Kuala Lumpur 2025 dijual dengan harga bermula RM288 (Bronze), RM388 (Silver), RM488 (Gold), RM688 (Platinum), RM888 (Diamond), RM1,088 (VIP) dan RM2,088 (Royal Twin Seat – dua tiket).
Baca juga:








