PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil tindakan tegas terhadap insiden pergaduhan yang melibatkan beberapa orang murid di sebuah sekolah dan tular di media sosial, baru-baru ini.
Susulan kejadian itu, empat orang murid digantung sekolah manakala 14 lagi diberi surat amaran, menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
“Hasil siasatan, empat orang murid telah dikenakan tindakan gantung sekolah manakala 14 murid lain diberi surat amaran,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Fadhlina turut memaklumkan bahawa tindakan yang diambil adalah selaras dengan prosedur disiplin sedia ada yang digariskan oleh KPM.
“Tindakan tegas diambil selaras dengan prosedur disiplin sedia ada yang digariskan oleh KPM,” ujarnya.
Beliau berkata, sebagai langkah pemulihan dan pembangunan sahsiah, murid yang digantung akan mengikuti program khidmat masyarakat yang dikendalikan oleh Pejabat Pendidikan Daerah.
Pada masa sama, sesi kaunseling turut dijalankan bagi membimbing mereka ke arah perubahan tingkah laku melalui penerapan nilai-nilai murni.
Fadhlina turut berkata, keselamatan dan kesejahteraan persekitaran sekolah akan terus menjadi keutamaan KPM dan pihaknya tidak akan berkompromi dalam isu-isu yang menjejaskan iklim pembelajaran pelajar.
Terdahulu, satu insiden pergaduhan yang tular melibatkan murid sekolah baru-baru ini dipercayai berlaku di sebuah sekolah di Terengganu dan berpunca daripada salah faham antara dua pelajar.
Walaupun ia tidak diklasifikasikan sebagai kes buli, KPM tetap mengambil tindakan tegas mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) buli dan salah laku yang sedang berkuat kuasa.








