PETALING JAYA: Empat daripada tujuh pemain warisan yang digantung tidak dibenarkan beraksi dalam mana-mana perlawanan rasmi yang dianjurkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sepanjang tempoh penggantungan mereka.
Dalam kenyataan hari ini, MFL memaklumkan pihaknya menerima notifikasi rasmi daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Jumaat, 6 Mac, mengenai keputusan Mahkahmah Timbang Tara Sukan (CAS) terhadap rayuan tujuh pemain berkenaan.
Menurut kenyataan itu, keputusan CAS mengekalkan penggantungan 12 bulan bagi ketujuh-tujuh pemain, namun hanya melibatkan perlawanan rasmi dan tidak menjejaskan aktiviti lain berkaitan bola sepak.
Tiga pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel bersama pemain Kuching City FC, Gabriel Palmero, tidak dibenarkan beraksi dalam Liga Malaysia sepanjang tempoh penggantungan.
Sumber MFL berkata status perlawanan yang telah disertai pemain terbabit dan sama ada keputusan perlawanan itu akan dibatalkan masih belum diputuskan, sementara menunggu tindakan retrospektif daripada Asian Football Confederation.
Keputusan ini dijangka memberi impak besar kepada pasukan JDT dan Kuching City FC, khususnya dalam usaha mereka mengukuhkan kedudukan liga musim ini.








