PONTIAN: Polis Daerah Pontian berjaya menahan enam lelaki tempatan berumur antara 18 hingga 22 tahun dalam masa 24 jam selepas kejadian bunuh di hadapan sebuah kedai makan dan minuman di Pekan Nanas, Johor, pada Khamis lalu.
Operasi khas yang dinamakan ‘Op Kejam’ itu turut membawa kepada rampasan pelbagai barangan disyaki digunakan dalam kejadian tersebut.
Ketua Polis Daerah Pontian, Supt. Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata, operasi bersepadu itu dijalankan antara pukul 8 malam pada 21 Mei hingga 4 pagi keesokan harinya dengan penglibatan Task Force Jenayah Kontinjen Johor, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Pontian serta beberapa cawangan khas termasuk D9, D7 dan D10 Forensik IPK Johor.
Beliau berkata, kejadian tersebut melibatkan seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun yang ditemukan mengalami kecederaan parah pada bahagian tangan dan kaki.
“Kejadian tersebut melibatkan seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun yang ditemukan mengalami kecederaan parah pada bahagian tangan dan kaki,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Ekoran daripada kejadian itu, satu operasi besar-besaran telah dijalankan bagi mengesan suspek yang terlibat.
Hasil serbuan membawa kepada penahanan enam lelaki yang mempunyai pelbagai rekod kesalahan jenayah dan penyalahgunaan dadah.
Pemeriksaan lanjut mendapati seorang daripada mereka positif dadah jenis Benzo, manakala lima lagi negatif.
Dalam operasi tersebut, polis turut merampas beberapa kenderaan dan peralatan yang disyaki digunakan semasa kejadian bunuh termasuk sebuah Nissan Navara 4×4, sebuah Toyota Estima, sebilah parang, sarung muka dan pelitup muka warna hitam, sebuah telefon bimbit iPhone 17 Pro berserta SIM kad serta pelbagai jenis pakaian yang dipercayai digunakan ketika kejadian.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM120,000.
“Hasil soal siasat awal mendapati kesemua suspek mengaku terlibat dengan serangan ke atas seorang lelaki tempatan sehingga menyebabkan kematian di kawasan Pekan Nanas,” kata beliau.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun, serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi kesalahan penyalahgunaan dadah.
Supt. Hadzrat berkata, pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau kumpulan yang terlibat dalam jenayah kekerasan.
“Tindakan tegas dan eksekutif akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan jenayah kepada Bilik Gerakan IPD Pontian di talian 07-687 9999 atau melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP).








