Endang Hyder kesal diminta ‘sponsor’ persembahan untuk Tun M, Tun Hasmah

PEMAIN biola profesional, Endang Hyder meluahkan rasa kecewa apabila diminta membuat persembahan secara percuma sempena majlis sambutan hari lahir Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 24 Ogos ini.

Dia memaklumkan menerima mesej daripada seorang individu yang mewakili sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), meminta dia ‘menaja’ sendiri persembahan sebagai hadiah untuk Tun Mahathir dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah.

Menurut Endang, permintaan itu dianggap tidak wajar, lebih-lebih lagi kerana dia pernah beberapa kali membuat persembahan untuk pasangan negarawan itu, malah pernah mengajar Tun Hasmah bermain biola.

“Saya yakin kalau Tun Hasmah tahu ada NGO buat begini pada pemuzik, dia pasti kecewa sebab dia memang sangat menyokong pemuzik,” katanya menerusi hantaran di X.

Endang turut menegaskan Tun Mahathir dan Tun Hasmah adalah tokoh yang sangat menghargai seni, dan dia percaya mereka sendiri tidak akan bersetuju jika tahu ada pihak meminta persembahan percuma atas nama mereka.

“Saya yakin mereka takkan gembira kalau tahu aku diminta main secara percuma untuk mereka, sebab mereka sangat menyokong pemuzik,” katanya.

Endang kesal dengan sikap segelintir NGO yang masih mempunyai mentaliti untuk mendapatkan persembahan seni secara percuma atas alasan ‘sumbangan’.

“Pemuzik pun ada bil nak bayar. Nak pergi persembahan pun perlukan kos. NGO tolonglah berhenti guna alasan sumbangan seni untuk minta kami main percuma.

“Kami bukan ikan berenang minum air nak ke tempat show,” tegasnya.

Dia juga mengingatkan bahawa menjadi seorang pemuzik bukan perkara mudah kerana memerlukan ilmu, latihan dan pengalaman, sama seperti kerjaya profesional lain.

“NGO yang berada di bawah pemimpin politik pun biasanya ada sumber dana yang banyak. Tapi masih nak minta pemuzik main percuma?

“Tolong ingat, pemuzik pun manusia macam orang lain. Ada perut sendiri dan perut anak-anak nak disuap,” katanya.

Ell Zain Hyder Zainuddin, 39, atau lebih dikenali sebagai Endang Hyder merupakan antara pemain biola instrumental terkenal negara yang sering dijemput membuat persembahan di dalam dan luar negara, termasuk di pentas berprestij serta acara kenegaraan.

Dia dikenali dengan gaya gesekan biola yang menyampaikan emosi tanpa lirik, dan sering menjadi pilihan dalam acara berprofil tinggi kerana keunikannya dalam menghidupkan muzik secara solo.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat