‘Energetic’, KRU kembali tawan hati peminat

Oleh: Aliyaa Azmi

LEBIH 9,000 peminat membanjiri Axiata Arena, Bukit Jalil malam Sabtu bagi menyaksikan Konsert GenKRU yang menandakan kemunculan semula kumpulan legenda itu selepas tujuh tahun tidak menganjurkan konsert berskala besar.

Sorakan bergema sebaik KRU membuka pentas dengan lagu Fanatik, salah satu karya popular daripada album Krumania, sekali gus menyemarakkan suasana malam penuh nostalgia.

Anggota KRU, Datuk Norman Abdul Halim meluahkan rasa syukur atas sambutan hangat peminat, yang menurutnya telah menjadi tunjang kekuatan mereka sepanjang lebih tiga dekad dalam industri.

“Siapa sangka selepas tujuh tahun kami dapat kembali dengan konsert berskala besar. Kami sangat bersyukur atas sokongan anda semua selama 33 tahun kami berkarya,” katanya.

Konsert itu menyaksikan Datuk Norman, Datuk Yusry dan Edry Abdul Halim mempersembahkan hampir 20 lagu hits termasuk Dekat Padamu, Mengerti, Babe, The Way We Jam, Jangan Lafazkannya, Oh! La La dan Voodoo dari album ke-15 mereka.

Lebih mengujakan, malam itu turut dimeriahkan dengan kemunculan artis yang pernah berkolaborasi dengan KRU sepanjang perjalanan seni mereka. Antaranya, Adam AF2 yang mendendangkan lagu Terhangat di Pasaran, serta kemunculan istimewa kumpulan Elite — Abby Abadi, Sasha Saidin, Azza Zawari, Watie Sadali dan Linda Rafar — dengan lagu Di Pintu Syurga, mencetuskan sorakan gemuruh dari penonton.

Turut membuat penampilan ialah ahli kumpulan Nico, serta Datuk AC Mizal yang mencuri perhatian dengan kemunculan cameo unik.

Segmen paling menyentuh hati hadir apabila KRU mempersembahkan lagu Perpisahan Terasing, diselang-selikan dengan rakaman suara Allahyarham Datuk Sudirman Arshad sebagai tanda penghormatan kepada legenda seni tanah air.

Konsert GenKRU dijadual berlangsung selama tiga malam pada 3, 4 dan 10 Mei 2025 di lokasi sama, memberi ruang kepada peminat dari pelbagai generasi untuk turut sama meraikan muzik yang pernah mewarnai zaman kegemilangan industri hiburan Malaysia.

Untuk rekod, kali terakhir KRU mengadakan konsert berskala besar adalah pada tahun 2018 menerusi Konsert GenerasiKRU25 yang berlangsung di Istana Budaya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat