PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan sokongan dan berbesar hati atas penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Hubungan Antarabangsa kepada Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.
Menurut Anwar penganugerahan itu cukup bermakna dan melambangkan penghormatan Malaysia terhadap peranan dan kepemimpinan hebat Erdogan di pentas antarabangsa, terutamanya membabitkan dunia Islam.

“Keberanian dan ketegasan Erdogan dalam memperjuangkan keadilan buat Palestin wajar diteladani pimpinan Islam dan dunia, di samping keupayaan beliau ekonomi memimpin penstrukturan semula dan kebangkitan ekonomi Turkiye.
“Semoga penganugerahan ini juga menjadi simbol persahabatan erat yang berkekalan antara Malaysia dan Turkiye,” katanya menerusi catatan di laman Facebook pada Isnin.
Terdahulu, Tuanku Canselor Universiti Malaya, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Isnin menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Hubungan Antarabangsa kepada Erdogan dalam Istiadat Konvokesyen Khas Universiti Malaya (UM).
Menurut UM, penganugerahan itu adalah berdasarkan kepimpinan cemerlang beliau dalam hubungan diplomatik dan peranan signifikan di pentas antarabangsa.
Katanya, sebagai Presiden Turkiye sejak 2014 dan Perdana Menteri dari 2003 hingga 2014, Erdogan telah memperkukuh hubungan Turkiye dengan kuasa besar dunia serta negara membangun, menjadikan Turkiye sebagai pemain utama dalam isu politik global dan diplomasi dunia Islam.
Konvokesyen Khas tersebut diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) yang turut dihadiri Anwar dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Dalam syarahannya pada Isnin, Erdogan menegaskan bahawa, Turkiye menuntut negara haram Israel untuk membayar segala pampasan atas kerosakan dan kemusnahan di Gaza.
Beliau berkata, anggaran kerosakan dan kemusnahan kesan perang lebih 15 bulan di Gaza berjumlah AS$100 billion (RM447 billion).
Erdogan bersama isteri, Emine Erdogan, tiba di Malaysia pada petang Isnin bagi memulakan lawatan kerja selama dua hari.
Baca juga: