Erra Fazira Umum Nikah 12 Disember

PRIMADONA tersohor negara, Erra Fazira, mengumumkan bakal menamatkan zaman solo dengan jejaka pilihannya, Ezwan Zain, pemilik rangkaian restoran Kueh, pada 12 Disember ini.

Erra atau Fazira Wan Chek, 51, berkongsi berita gembira itu dalam nada sebak pada majlis pelancaran dan tayangan perdana muzik video Cinta Abadi 2025 di sebuah hotel, petang tadi. Dia turut memohon doa agar majlis pernikahannya dipermudahkan.

“Insya-Allah, jika tiada aral, pada 12 Disember bersamaan Jumaat, saya menjemput rakan media dan semua untuk terus mendoakan agar majlis pernikahan saya berlangsung dengan penuh keberkatan,” katanya.

Pengumuman itu turut menjadi lebih bermakna apabila Erra kembali mempersembahkan lagu Cinta Abadi, single sulungnya yang diterbitkan pada 1993, dalam versi baharu dengan susunan muzik segar sebagai simbolik fasa baharu kehidupannya.

Erra berkata, lagu itu sangat dekat di hati kerana menjadi karya yang melonjakkan namanya dalam industri nyanyian. Beliau turut mengenang pengalaman merakamkan lagu tersebut ketika berusia 19 tahun di Singapura, yang ketika itu mencetuskan fenomena dan membuka pintu rezeki luas buatnya.

“Apabila pihak MindOrder Sdn Bhd cadangkan untuk rakam semula, saya setuju kerana saya tahu ramai peminat merindui nyanyian saya. Harap versi baharu ini mampu mengubat kerinduan mereka kepada melodi klasik ini,” jelasnya.

Spekulasi hubungan Erra dan Ezwan mula menjadi perhatian sejak pelakon itu berkongsi ucapan romantis kepada lelaki berkenaan pada Januari lalu. Sebelum ini, Erra menafikan dakwaan bahawa perkahwinannya bakal berlangsung dalam masa terdekat kerana belum ada tarikh rasmi ketika itu.

Erra sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan Engku Emran pada 2007 sebelum bercerai pada 2014. Mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Engku Aleesya, 16. Terdahulu, beliau juga pernah berkahwin dengan penyanyi Datuk Yusry Abdul Halim pada 2003 tetapi bercerai pada 2006.

Majlis 12 Disember ini dijangka menjadi detik paling istimewa buat primadona negara itu selepas melalui pelbagai fasa dalam dunia seni dan kehidupan peribadi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat