ETS jadi pilihan utama, KTMB catat lonjakan penumpang Aidilfitri

KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) merekodkan seramai 292,033 penumpang menggunakan perkhidmatan tren elektrik (ETS) sepanjang tempoh pergerakan Aidilfitri dari 17 hingga 29 Mac lalu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Azlan Shah Al Bakri, jumlah itu menunjukkan peningkatan ketara sebanyak 109 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, sekali gus mencerminkan keyakinan berterusan pengguna terhadap perkhidmatan rel sebagai pilihan perjalanan utama.

“Sambutan pengguna terhadap perkhidmatan KTMB amat menggalakkan dengan 314,673 tiket berjaya dijual, bersamaan 99.99 peratus kadar pengisian tempat duduk sepanjang tempoh Aidilfitri,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Katanya lagi, prestasi itu membuktikan perkhidmatan ETS kekal menjadi pilihan utama rakyat bagi perjalanan jarak jauh yang lebih pantas, selesa dan efisien, terutama ketika musim perayaan.

Perkhidmatan Intercity seperti Ekspres Rakyat Timuran (ERT) turut mencatat peningkatan kepada 20,969 penumpang berbanding 14,039 tahun lalu, manakala tren khas Ekspres Lambaian Aidilfitri merekodkan 1,671 penumpang menerusi enam perkhidmatan.

“Prestasi ketepatan masa ETS turut meningkat kepada 95 peratus berbanding 94 peratus tahun lalu hasil pemantauan operasi secara masa nyata serta penyelenggaraan berterusan,” katanya.

KTMB turut memperkukuh operasi dengan penggunaan penuh tren ETS3 baharu serta pengenalan perkhidmatan EMU Plus bagi laluan KL Sentral–Ipoh.

“Langkah ini membantu meningkatkan kapasiti tempat duduk dan melancarkan aliran penumpang, khususnya pada waktu puncak,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat