Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) berkerjasama bersama Eq8 Capital Sdn Bhd bagi melancarkan Exchange Traded Fund berciri wakaf (Waqf ETF) yang pertama di dunia tidak lama lagi, perkara itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan media pada 28 Mei 2024.
Menurut kenyataan tersebut, Waqf ETF merupakan produk pelaburan Dana Unit Amanah Islamik, di mana 50 peratus daripada pendapatan yang dijana berasal dari pelaburan disumbangkan oleh pelabur sebagai wakaf dan baki 50 peratus akan disalurkan kepada pelabur sebagai keuntungan pelaburan.
“Menerusi kerjasama ini, YWM diangkat selaku institusi wakaf yang berperanan sebagai Pengurus Wakaf kepada dana Waqf ETF.
“Setiap dana wakaf yang diterima YWM akan diagihkan dalam pelbagai sektor seperti kesihatan, pendidikan, sekuriti makanan, tenaga hijau dan lain-lain, bagi membolehkan manfaatnya dinikmati secara holistik,” ujar kenyataan tersebut.
Terdahulu, YWM telah menjalin kerjasama dengan Kenanga Investors Berhad dalam mewujudkan dua produk pelaburan Dana Unit Amanah Islamik berelemankan wakaf.
Dua produk pelaburan itu merupakan sebahagian daripada pendapatan yang dijana daripada pelaburan dan disumbangkan oleh pelabur sebagai wakaf, iaitu Kenanga Waqf Al Ihsan Fund yang dilancarkan pada tahun 2021 dan Kenanga Sustainability Series: Emergency Musa’adah Fund pada tahun 2022.
Baca juga: