Exco Kelantan tidak sensitif bila tiba musim tengkujuh – DAP

Oleh: Haikal Tajuddin

PETALING JAYA: Exco Kelantan tidak sensitif untuk menjadikan banjir di Kelantan sebagai produk pelancongan negeri, kata Penolong Setiausaha Publisiti DAPSY Kebangsaan, Syaheera Ghafar.

Beliau berkata, bencana yang kini sedang teruk melanda di negeri berkenaan memberi kesan yang mendalam kepada mangsa yang terlibat.

Tegasnya, kenyataan yang dilontarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa (EXCO) Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan, Datuk Kamarudin Md Noor seakan-akan tidak mempertimbangkan tragedi buruk yang dihadapi oleh mangsa-mangsa banjir.

“Apakah sekarang masa yang sesuai untuk memikirkan Kelantan yang sepi daripada pelancong?

“Bagaimana boleh datang idea menjadikan banjir sebagai produk pelancongan ketika kita tahu, bencana ini meragut nyawa, menjejaskan kesihatan, keterhubungan serta kemusnahan harta benda dan macam-macam lagi,” katanya.

Syaheera berkata, mangsa banjir terutamanya golongan wanita dewasa yang berjumlah 28,885 daripada 83,295 jumlah mangsa (dari portal InfoBencanaJKM), sedang berada dalam keadaan kurang memuaskan terutama daripada segi kebersihan dan pengurusan diri.

“Dalam situasi ini, pasti sukar buat mereka untuk menjaga kebersihan dan mengurus diri, tidak kira di rumah sendiri atau di Pusat Pemindahan Sementara (PPS),” tambahnya.

Beliau menegaskan bahawa tidak wajar bagi seorang pemimpin masyarakat mengeluarkan idea atau cadangan yang tidak sensitif tanpa menyelami kesukaran masyarakat yang terkesan kini.

Terdahulu, Kamarudin Md Noor mencadangkan banjir di Kelantan sebagai produk pelancongan kerana negeri tersebut dianggap ‘sepi’ tanpa kehadiran pelancong bila tiba musim tengkujuh.

Baca lagi.

Anda Mungkin Berminat