PETALING JAYA: Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin kini bergelar isteri.
Dalam satu majlis pernikahan yang berlangsung secara tertutup dan penuh keberkatan, beliau dan pasangan, Joshua telah disatukan dalam suasana yang intim yang dihadiri oleh keluarga terdekat serta sahabat rapat.
Menurut satu hantaran di Facebook beliau, majlis itu bukan sekadar perayaan cinta tetapi juga penghormatan kepada permintaan keluarga kedua-dua belah pihak yang menginginkan sebuah pernikahan yang lebih fokus kepada hikmah dan keberkatan ikatan itu sendiri.
“Alhamdulillah dengan izin-Nya, saya dan pasangan telah selamat melangsungkan pernikahan semalam (Ahad).
“Saya mohon maaf sekiranya ada pihak terasa hati. Percayalah, ini keputusan yang dibuat dengan teliti dan penuh hormat kepada semua yang menyokong kami selama ini,” katanya.
Turut hadir sebagai ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta beberapa tokoh politik termasuk Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin.
Walaupun majlis itu berlangsung dalam suasana sederhana, Jamaliah memberi bayangan bahawa akan ada peluang lain untuk meraikan kegembiraan ini secara lebih terbuka dan meriah bersama sahabat serta kenalan pada masa akan datang.
Jamaliah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bandar Utama turut memohon doa agar perkahwinan ini diberkati dengan sakinah, mawaddah dan rahmah serta berharap agar bahtera rumah tangga yang dibina akan kekal harmoni dan diredhai-Nya.