PETALING JAYA: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bakal menghadiahkan insentif khas kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dr. Burhanuddin di Taiping Perak, sekiranya berjaya mencapai tahap sifar buli sepenuhnya.
Menerusi kenyataan di Facebooknya pada Ahad, beliau menegaskan komitmen Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk membanteras gejala buli di sekolah, dengan memperkenalkan insentif khas kepada sekolah yang berjaya mencapai tahap sifar buli.
Ketika lawatan rasmi beliau ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dr. Burhanuddin di Taiping semalam, Fadhlina memaklumkan bahawa usaha membanteras buli perlu dijadikan sebagai salah satu Petunjuk Prestasi Utama (KPI) pentadbiran sekolah.
“Salah laku buli perlu diperangi habis-habisan. Ia perlu dijadikan petunjuk prestasi utama oleh pentadbir sekolah.
“Saya berjanji akan memberikan insentif khas jika sekolah ini berjaya mencatat ‘sifar buli’,” katanya dalam ucapannya di hadapan warga sekolah.

Dalam pada itu, Fadhlina turut memuji prestasi akademik SMK Dr. Burhanuddin yang menunjukkan peningkatan memberangsangkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dan menggalakkan pelajar untuk terus berusaha ke arah kecemerlangan.
Pada masa yang sama, beliau mengumumkan peruntukan sebanyak RM100,000 kepada sekolah berkenaan, khusus bagi tujuan penambahbaikan infrastruktur dan penyelenggaraan kemudahan bagi keselesaan murid, guru dan warga sekolah secara keseluruhan.
“Inilah bentuk sokongan kita kepada sekolah yang gigih membina persekitaran pendidikan yang selamat, selesa dan bebas buli,” tambahnya.
Katanya lagi, kunjungannya ke sekolah itu sebagai pengalaman yang amat bermakna, dan menyambut baik sambutan mesra yang diberikan oleh pelajar dan guru-guru di SMK Dr. Burhanuddin.
Baca juga: