Fadhlina hantar notis tuntutan kepada MP Jasin, Harakahdaily atas dakwaan fitnah

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek telah menghantar notis tuntutan terhadap Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail dan Harakahdaily atas dakwaan fitnah.

Fadhlina mengemukakan tuntutan berdasarkan kenyataan Zulkifli itu disiarkan dalam artikel yang disiarkan Harakahdaily bertarikh 6 November 2023 di bawah tajuk “Ajaran Siapa Tak Boleh Takbir Di Sekolah?”

Dalam surat guaman yang dikemukakan melalui Firma Guaman Ibrahim & Fuaadah bertarikh 21 November 2023, mereka menyifatkan kenyataan dalam artikel berkenaan membawa maksud bahawa Fadhlina telah tidak membenarkan laungan takbir dan bacaan qunut nazilah dilakukan sempena sambutan Minggu Solidariti Palestin di sekolah-sekolah, baru-baru ini.

Artikel yang sama juga, menurut firma guaman terbabit, seolah-olah memberi maksud Fadhlina seorang yang tidak patuh dan tidak jujur kepada ajaran Islam yang diajar oleh Rasulullah.

Kenyataan dalam artikel itu juga, tambah firma guaman itu lagi, menunjukkan Fadhlina seolah-olah mempunyai pegangan agama yang terpesong serta merujuknya sebagai “munafik”.

Selain ganti rugi RM500,000, Fadhlina memberi tempoh 48 jam untuk kedua-dua Zulkifli dan Harakahdaily menurunkan artikel dalam talian itu dan membuat permohonan maaf tanpa syarat kepadanya.

Dia juga menuntut akujanji bertulis daripada Zulkifli dan Harakahdaily untuk berikrar tidak mengulangi kenyataan yang didakwa berunsur fitnah itu serta menanggung semua kos guamannya.

Pasukan guamannya daripada firma guaman Ibrahim & Fuaadah juga menyatakan bahawa kegagalan kedua-dua pihak untuk mematuhi tuntutan Fadhlina itu akan menyebabkan dia memulakan tindakan undang-undang di mahkamah tanpa notis lanjut kepada mereka.

Baca lagi:

Anda Mungkin Berminat