PETALING JAYA: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan bahawa semangat dan tekad warga pendidikan akan terus menyala dalam menjayakan agenda Reformasi Pendidikan negara.
Beliau berkata demikian sempena program NYALA: Kisah Reformasi Pendidikan yang diadakan bagi meraikan usaha dan pengorbanan warga pendidikan di semua peringkat.
“Pengiktirafan ini adalah tanda terima kasih kepada mereka yang tidak jemu berjuang demi memartabatkan pendidikan negara. Kami mungkin tidak sempurna, tetapi kami tidak pernah berhenti berusaha,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurut Fadhlina, pelaksanaan Reformasi Pendidikan selama hampir tiga tahun telah membawa pelbagai pencapaian signifikan hasil usaha gigih warga pendidikan di lapangan.
Antaranya termasuk peningkatan kadar pengisian guru hingga lebih 98 peratus, pelaksanaan inisiatif pembantu guru dan pembantu warden asrama sepenuh masa, serta projek pembangunan semula sekolah daif dan baik pulih institusi pendidikan.
Fadhlina menambah, tumpuan turut diberikan kepada kualiti pengajaran dan pembelajaran, kemenjadian murid, kesejahteraan guru serta kecemerlangan institusi pendidikan.
“Reformasi Pendidikan telah mula menuai hasil, namun kita tidak boleh berhenti di sini. Masih banyak ruang untuk penambahbaikan. Janji saya, kita akan terus melakukannya bersama, ‘we will do better’,” tegasnya.
Program NYALA menjadi simbol semangat baharu dalam perjalanan Reformasi Pendidikan yang digerakkan sejak 2023, dengan matlamat menjadikan sistem pendidikan Malaysia lebih inklusif, berkualiti dan berdaya saing.
Baca juga:








