Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkongsi kisah mengenai anak sulungnya yang memberi iktibar kepada ibu bapa bahawa sentiasa mempercayai proses kejayaan anak-anak susulan keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) baru-baru ini.
Beliau menekankan bahawa tiada istilah anak yang tidak menjadi, tetapi proses tumbesaran anak-anak merupakan suatu perjalanan yang panjang hingga ‘memanusiakan’ anak tersebut.
“Apa yang penting adalah ibu bapa perlu membantu anak-anak mempersiapkan diri mereka untuk perjalanan selanjutnya.
“Anak-anak kita akan bersinar dalam ruang yang mereka paling selesa, di atas pentas yang berbeza. Mungkin seni, sukan, falsafah, menyusun kertas, memasak, melipat kain, membuang sampah dan mengikut kita ke pasar,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya.
Bercerita mengenai kisah anak sulungnya yang digelar ‘zero to hero’, Fadhlina menyatakan bahawa setiap anak memerlukan pendekatan yang berbeza namun teras dan nilai perlu tetap teguh.
“Ada satu perkara yang saya belajar sungguh daripada anak sulung kami, bahawa dalam apa jua keadaan, kepercayaan kami tetap utuh bahawa anak ini akan bersinar apabila tiba masanya.
“Maka saya dan suami harus sabar mendukung, mencipta ekosistem dan terus berdoa,” katanya.
Fadhlina turut mengakui bahawa memang ada waktunya anaknya akan berasa terpinggir kerana tidak pernah menaiki pentas untuk menerima sebarang hadiah akademik, terutama ketika adiknya saban tahun bergelar pelajar terbaik.
Namun, sebagai ibu bapa, Fadhlina dan suami akan memulakan proses menjaga ekosistem psikososial dan sokongan anak-anak dengan lebih kuat, di samping menekankan bahawa tiada tekanan untuk apa-apa kejayaan ditumpukan kepada anak-anak mereka.
Tambahnya, kecekalan dan resilience memaknai ‘man jadda wajada‘ mula menunjukkan hasil ketika keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) anak sulungnya, malah keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) juga di luar jangkaan.

Lebih mengharukan, anaknya juga berkongsi dirinya berjaya mendapat pencapaian anugerah dekan baru-baru ini yang menunjukkan bahawa anak sulungnya telah menemui rentak kehidupannya.
Baca juga: