Fadhlina Minta Pihak Sebar Fitnah Program Sekolah di Gereja Mohon Maaf

BUKIT MERTAJAM: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menggesa pihak yang menyebarkan dakwaan kononnya satu program melibatkan sekolah diadakan di gereja supaya tampil memohon maaf kerana kenyataan tersebut tidak benar dan menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata, tuduhan yang tular di media sosial itu juga berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat, lebih-lebih lagi ketika umat Islam sedang menjalani ibadah puasa sepanjang bulan Ramadan.

Menurutnya, program yang dipersoalkan sebenarnya adalah sesi libat urus melibatkan pemegang taruh tadika dan prasekolah swasta anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang diadakan di sebuah sekolah antarabangsa.

“Program itu berlangsung dalam dewan sekolah dan bukannya di gereja seperti yang didakwa. Sebab itu saya tegaskan, ini bulan Ramadan dan sebarang fitnah atau berita yang boleh mengganggu keharmonian serta menimbulkan kemarahan dan salah faham dalam masyarakat tidak boleh dibiarkan,” katanya, seperti dipetik berita tempatan pada Sabtu.

Fadhlina Sidek yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan tular bahawa program melibatkan tadika swasta bersama KPM diadakan di sebuah gereja di kawasan itu.

Katanya, setakat ini kementerian mengambil pendekatan menjelaskan perkara sebenar kepada masyarakat serta menafikan dakwaan yang dianggap sebagai fitnah.

“Majlis itu dihadiri ramai pemegang taruh dan berlangsung dalam dewan dengan fasiliti yang baik. Perbincangan juga berjalan lancar, jadi dakwaan bahawa ia diadakan di gereja adalah tidak benar,” katanya.

Dalam masa sama, Ketua Pengarah Pendidikan, Mohd Azam Ahmad, dilaporkan berkata sesi berkenaan sebenarnya diadakan di dewan Assumption International Secondary School di Bukit Mertajam yang berdaftar dengan kementerian.

Menurutnya, pemilihan lokasi tersebut dibuat berdasarkan kemudahan dan fasiliti yang tersedia selain bertujuan menonjolkan peranan sekolah antarabangsa sebagai sebahagian daripada ekosistem pendidikan swasta negara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat