PETALING JAYA: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan beliau bersedia meneliti setiap pandangan dan cadangan daripada pelbagai pihak dalam usaha memperkukuh keselamatan serta membanteras gejala buli di institusi pendidikan.
Beliau berkata, langkah itu merangkumi aspek sokongan psikososial, latihan kepada guru dan warden, modul pendidikan untuk ibu bapa, pemantauan berterusan di sekolah serta pelaksanaan pelan antibuli yang lebih menyeluruh.
“Usaha memerangi salah laku buli dan memastikan ekosistem selamat di institusi pendidikan adalah tanggungjawab bersama,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook selepas menerima memorandum daripada Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) serta Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (HARAM).
Katanya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kini sedang melaksanakan beberapa inisiatif penting seperti audit keselamatan, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dan penubuhan jawatankuasa reformasi keselamatan.
Baru-baru ini, kementerian turut meluluskan peruntukan RM3 juta bagi pemasangan CCTV di sekolah berasrama terpilih secara segera sebelum diperluas ke seluruh sekolah berasrama di negara ini.
Langkah itu itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan bagi memperkukuhkan pemantauan, mencegah insiden tidak diingini serta memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat dan kondusif untuk semua murid.
Baca juga: