Fadhlina wakili arwah ayah terima anugerah

PETALING JAYA: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mewakili almarhum ayahanda beliau menerima Anugerah Tokoh Jubli Intan SISTA di Majlis Santapan Malam sempena sambutan Jubli Intan SISTA 2024.

Anugerah tersebut adalah sebagai penghargaan kepada sumbangan cendiakawan Almarhum Siddiq Fadzil dalam dunia pemikiran Islam serta gerakan dakwah.

“Saya teringat kisah bagaimana ayahanda saya bukan sahaja antara pemidato yang ulung semasa di SIS tetapi juga Ketua demonstrasi yang menuntut Reformasi untuk membela masa depan pelajar sekolah agama dahulu.

“Perjuangan itu diteruskan sehinggala beliau berkhidmat sebagai Ahli Majlis bagi Majlis Agama Islam Dan Istiadat Melayu negeri Perak selama 16 tahun,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Fadhlina juga memaklumkan bahawa semangat cinta dan komitmen ayahnya kepada pendidikan, agama dan dakwah akan selamanya menjadi pembakar semangat untuk generasi mendatang.

Untuk info, Siddiq Fadzil meninggal dunia pada 31 Ogos 2021 pada usia 74 tahun di Hospital Pakar An-Nur, Bangi, Selangor akibat jangkitan paru-paru dan buah pinggang.

Almarhum merupakan seorang ahli akademik dan aktivis pendidikan di negara ini dan beliau juga merupakan Presiden Wadah Pencerdasan Ummah Malaysia (WADAH) sejak 2005 sehingga kematian beliau pada 2021.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat