Fadillah Lancar Pelan Tindakan Nasional WPS, Tegas Peranan Wanita Serantau

PETALING JAYA: Malaysia melakar sejarah baharu dalam diplomasi serantau apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof merasmikan Sidang Kemuncak Wanita, Keamanan dan Keselamatan (WPS) ASEAN 2025 serta melancarkan Pelan Tindakan Nasional WPS pertama negara pada Selasa.

Pelancaran ini menandakan komitmen Malaysia untuk memperkukuh agenda inklusif dan memastikan wanita memainkan peranan utama dalam membina keamanan yang berkekalan.

“Agenda WPS bukan sekadar dokumen dasar tetapi asas diplomasi dan teras kepada keamanan yang berkekalan.

“Tiada keamanan boleh bertahan jika wanita diketepikan,” kata Fadillah dalam satu hantaran di Facebook miliknya.

Beliau turut mengangkat pengalaman Malaysia dalam rundingan damai di Selatan Thailand dan Mindanao sebagai bukti bahawa sumbangan wanita di peringkat komuniti mampu membina kepercayaan dan ketahanan sosial.

Fadillah menekankan bahawa cabaran kontemporari seperti ekstremisme, buli siber dan perubahan iklim memerlukan pendekatan yang lebih inklusif dan penglibatan wanita secara bermakna.

Pelan Tindakan Nasional WPS ini dibangunkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan kerjasama Kementerian Pertahanan, Kementerian Luar Negeri serta agensi berkaitan.

Ia melengkapi Dasar Wanita Negara 2025–2030 dan menjawab saranan badan antarabangsa termasuk Jawatankuasa CEDAW.

Kajian oleh UN Women menunjukkan bahawa perjanjian damai yang melibatkan wanita secara bermakna adalah 35 peratus lebih berdaya tahan untuk bertahan sekurang-kurangnya 15 tahun.

Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia membawa tema ‘Ke Arah Komuniti ASEAN yang Inklusif dan Mampan’ dengan agenda WPS menjadi sebahagian daripada visi besar rantau ini untuk masa depan yang lebih adil dan lestari.

Anda Mungkin Berminat