KUALA LUMPUR: Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Fadlun Mak Ujud, dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur berkuat kuasa esok, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Pelantikan itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, dan dibuat selaras Subseksyen 4(2) Akta Ibu Kota Persekutuan 1960. Fadlun, 58, menggantikan Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif.
Berpengalaman lebih 28 tahun dalam perancangan bandar, pembangunan wilayah dan pengurusan bandar raya, Fadlun berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Desa dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Beliau sebelum ini menerajui PPj sejak 2022, termasuk memacu pelaksanaan Putrajaya Smart City Blueprint 2025, inisiatif transformasi hijau dan pelbagai program kesejahteraan bandar berasaskan kelestarian.
Dr Zaliha berkata pelantikan itu diyakini dapat mengukuhkan agenda Bandar CHASE serta memastikan Kuala Lumpur terus berkembang sebagai ibu negara global yang kompetitif dan berdaya huni.
Dalam masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Maimunah atas sumbangannya sepanjang memegang jawatan, selain mengucapkan tahniah atas pelantikan baharunya sebagai Penasihat Hartanah PETRONAS.
Baca juga:







