KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melakar sejarah baharu apabila Datuk Fadlun Mak Ujud secara rasmi memulakan tugas sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur ke-16 pada Isnin, menggantikan Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif.
Ketibaan beliau di Menara DBKL 1 disambut dengan penuh adat istiadat termasuk tabik hormat oleh Kawalan Kehormatan Jabatan Penguatkuasaan DBKL.
Suasana turut dimeriahkan dengan persembahan tarian selamat datang oleh artis budaya DBKL, sebagai tanda penghargaan warga kota terhadap kepimpinan baharu.
“Dalam simbolik bermakna, Fadlun melakukan ‘punch in’ pertamanya sebagai tanda rasmi bermulanya tanggungjawab menerajui pentadbiran ibu kota,” menurut kenyataan DBKL.
Selepas upacara sambutan, beliau dibawa ke tingkat 29 Menara DBKL 1 untuk mendengar taklimat berhubung fungsi serta hala tuju strategik DBKL dalam usaha memajukan Kuala Lumpur sebagai kota bertaraf dunia.
Pelantikan Fadlun disifatkan sebagai lembaran baharu kepimpinan DBKL, dengan fokus memperkukuh tadbir urus, pembangunan bandar mampan dan kesejahteraan penduduk.
Beliau sebelum ini memegang beberapa jawatan penting dalam bidang perancangan bandar, menjadikan pengalaman tersebut aset penting dalam menerajui ibu kota.
DBKL turut menzahirkan penghargaan kepada bekas Datuk Bandar, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif, atas kepimpinan cemerlang sepanjang memegang jawatan ke-15.
Sumbangan beliau dianggap meninggalkan legasi berwawasan untuk kepentingan warga kota.
Maimunah sebelum ini mengetuai pelbagai inisiatif transformasi bandar termasuk pembangunan mampan dan peningkatan sistem penyampaian perkhidmatan.
Pengalaman luas beliau dalam perancangan bandar turut mengangkat reputasi Kuala Lumpur di peringkat global.







