KUALA LUMPUR: Dalam usaha memahami cabaran yang dihadapi oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), Kerajaan Madani melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) mengumumkan penangguhan pelaksanaan sistem e-Invois bagi kumpulan pembayar cukai tertentu.
Dalam kenyataan rasmi, LHDN memaklumkan bahawa pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan di bawah RM500,000 kini dikecualikan daripada pelaksanaan sistem e-Invois buat masa ini.
Sementara itu, pelaksanaan untuk kumpulan berpendapatan antara RM1 juta hingga RM5 juta yang dijadualkan sebelum ini telah ditangguhkan kepada 1 Januari 2026.
Manakala kumpulan berpendapatan sehingga RM1 juta akan mula melaksanakan sistem ini pada 1 Julai 2026.
“Keputusan ini mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap situasi semasa para peniaga, terutamanya dalam kalangan PMKS yang memerlukan masa tambahan untuk membuat persiapan dari segi infrastruktur dan kefahaman sistem,” jelas kenyataan LHDN.
Langkah ini diambil setelah kerajaan mengambil maklum pelbagai komitmen dan kekangan yang dihadapi oleh golongan peniaga kecil dalam menghadapi pelaksanaan digitalisasi percukaian yang baharu.
Pelaksanaan Secara Berperingkat
Menurut jadual baharu, fasa ketiga pelaksanaan e-Invois akan bermula pada 1 Julai 2025, melibatkan pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM5 juta hingga RM25 juta.
Ini akan disusuli dengan fasa keempat dan kelima masing-masing pada 1 Januari 2026 dan 1 Julai 2026.
Sebagai sokongan kepada pembayar cukai, tempoh kelonggaran enam bulan akan diberikan dalam setiap fasa, di mana mereka boleh mengeluarkan e-Invois secara disatukan bagi semua transaksi termasuk bil kendiri.
Penjual juga dibenarkan untuk mengeluarkan invois disatukan sekiranya diminta oleh pembeli, tanpa keperluan mengeluarkan invois berasingan bagi setiap transaksi.
Sepanjang tempoh kelonggaran ini, LHDN menegaskan bahawa tiada tindakan pendakwaan akan diambil di bawah Seksyen 120 Akta Cukai Pendapatan 1967, asalkan pembayar cukai mematuhi syarat dan garis panduan berkaitan e-Invois disatukan.
Namun begitu, mulai 1 Januari 2026, semua pembayar cukai yang terlibat wajib mengeluarkan e-Invois bagi setiap transaksi melebihi RM10,000, dan penggunaan invois disatukan tidak lagi dibenarkan.
Sistem e-Invois, yang merupakan sebahagian daripada agenda digitalisasi kerajaan, bertujuan untuk meningkatkan kecekapan kutipan hasil negara, mengurangkan ketirisan cukai, dan memperkukuh ketelusan transaksi perniagaan.
Langkah penangguhan ini dilihat sebagai pendekatan inklusif Kerajaan Madani dalam mendukung pertumbuhan perniagaan kecil sambil memastikan reformasi fiskal negara berjalan secara teratur dan adil.
Bagi maklumat lanjut LHDN turut menyediakan pelbagai saluran maklumat dan bantuan untuk memudahkan pematuhan sistem baharu ini, termasuk:
Talian bantuan e-Invois: 03-8682 8000
MyInvois Live Chat
E-mel: [email protected]
Borang maklum balas: https://feedback.myinvois.hasil.gov.my