Fahaman songsang perlu diharamkan, individu kena segera bertaubat – Menteri Agama

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Na’im Mokhtar menegaskan bahawa mana-mana bahan terbitan yang membawa fahaman bercanggah dengan ajaran Islam perlu diharamkan oleh pihak berkuasa.

Beliau turut menyeru individu yang terpengaruh atau berpegang kepada fahaman sebegitu untuk segera bertaubat dan kembali ke jalan Islam yang sebenar.

“Mana-mana bahan terbitan yang berpaksikan pemikiran tersebut perlu diharamkan dan boleh dirampas. Individu yang berpegang kepada fahaman ini hendaklah bertaubat dan kembali ke jalan Islam,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Tegas beliau, pihak berkuasa agama akan terus memantau serta mengambil tindakan tegas terhadap sebarang penyebaran ajaran menyeleweng yang boleh mengelirukan masyarakat dan merosakkan akidah umat Islam di negara ini.

Beliau sekali lagi mengingatkan bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan fatwa pemikiran liberalisme dan pluralisme adalah menyeleweng itu adalah kekal dan terpakai lagi di negara ini.

Sebelum ini, umat Islam di negara ini disaksikan dengan situasi ketegangan apabila kumpulan hak asasi wanita Sister In Islam Forum (SIS) berjaya mencabar fatwa Selangor yang mengisytiharkan SIS adalah fahaman liberalisme dan pluralisme agama dan sesat.

Keputusan berkenaan merupakan hasil majoriti 3 lawan 1 yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan di Putrajaya pada baru-baru ini.

Mahkamah Persekutuan turut mengiytiharkan fahaman liberalisme dan pluralisme agama sebagai sesat tidak boleh diguna pakai terhadap Sisters in Islam (SIS) Forum Malaysia.

Ini kerana fatwa itu hanya terpakai kepada orang perseorangan beragama Islam dan bukannya syarikat atau pertubuhan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat