Oleh: Aliyaa Azmi
KUALA LUMPUR: Keselamatan Internet hari ini bukan lagi isu teknikal yang hanya difahami golongan pakar, sebaliknya menjadi tanggungjawab bersama melibatkan keluarga, kanak-kanak dan masyarakat secara keseluruhan.
Itu antara mesej utama yang dibawa menerusi Hari Keselamatan Internet (HKI) 2026, anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), yang akan berlangsung di Astaka Taman Tasik Titiwangsa.
Dengan tema “Teknologi Pintar, Pilihan Selamat”, HKI 2026 memberi penekanan kepada penggunaan Internet dan teknologi kecerdasan buatan (AI) secara selamat, beretika dan bertanggungjawab, seiring dengan realiti semasa di mana kanak-kanak semakin awal terdedah kepada dunia digital.

Berbeza daripada pendekatan berbentuk amaran semata-mata, HKI 2026 mengetengahkan konsep ‘edutainment’ yang santai dan mudah difahami, menjadikannya sesuai untuk ibu bapa, remaja, pelajar serta keluarga.
Antara isu yang diketengahkan termasuk pendedahan kanak-kanak kepada media sosial, risiko penipuan dan scam dalam talian yang semakin kompleks, serta ancaman harian yang sering tidak disedari pengguna melalui peranti mudah alih.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata bagi mengukuhkan keselamatan internet, Kementerian mengambil inisiatif melaksanakan kempen Internet Selamat yang bukan hanya menyasarkan golongan kanak-kanak dan remaja, tetapi ibu bapa serta Masyarakat.
“Saya berasa bersalah sekiranya kita hanya berjaya menyediakan internet yang laju dan murah, tetapi tidak selamat. Sebab itu kempen keselamatan internet diadakan” katanya.
Ramai pengguna masih memandang ringan risiko digital, sedangkan ancaman boleh berlaku melalui perkara yang kelihatan remeh seperti mesej segera, pautan hadiah palsu dan kandungan tular yang mengelirukan.

Sehubungan itu, HKI 2026 memberi fokus kepada perubahan sikap dan pembinaan kesedaran, bukan sekadar menakut-nakutkan pengguna dengan statistik dan amaran teknikal.
Pelbagai pengisian menarik disediakan sepanjang program, termasuk pocket talk dan perbincangan santai tanpa bahasa teknikal, aktiviti interaktif, pameran keselamatan digital, program komuniti dan keluarga, serta kandungan mesra visual yang sesuai untuk perkongsian media sosial.
Pendekatan ini bertujuan membawa perbincangan tentang keselamatan Internet, AI dan tanggungjawab digital ke ruang awam secara lebih dekat dengan rakyat, tanpa sensasi atau nada menghakimi.
Program ini juga akan diserikan dengan persembahan daripada Datuk Jamal Abdillah, Insomniacks, Ismail Izzani dan Kaka Azraff.
HKI 2026 juga dilihat sebagai satu platform nasional untuk membentuk budaya penggunaan Internet yang lebih selamat, sedar dan bertanggungjawab dalam kalangan rakyat Malaysia, seiring perkembangan pesat teknologi digital hari ini.
Justeru, Fahmi bersama Timbalannya, Teo Nie Ching mengajak orang awam untuk hadir ke Hari Keselamatan Internet (HKI) 2026 sebagai langkah proaktif membina kesedaran dan budaya penggunaan Internet yang lebih selamat serta bertanggungjawab.
Orang ramai dijemput hadir dan menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan pada Ahad, 8 Februari 2026 di Astaka Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.
Maklumat lanjut boleh didapati di laman rasmi Hari Keselamatan Internet 2026 di mcmc.gov.my/ms/hki2026/home
Baca juga:








