PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan beliau masih belum menerima sebarang laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung siasatan dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut laporan media tempatan, dakwaan itu merujuk kepada tuduhan bahawa presiden Bersatu itu mempertahankan pemberian subsidi petrol RON95 kepada warga asing.
“Saya masih belum terima,” kata Fahmi ringkas ketika ditanya pemberita selepas sidang media di Putrajaya pada Jumaat.
“Kena rujuk kepada MCMC,” kata Fahmi ketika ditanya bila laporan penuh akan diserahkan.
Difahamkan, siasatan badan itu sudah berlarutan hampir sebulan.
Awal bulan ini, Anwar mendakwa di Parlimen bahawa Muhyiddin mempertahankan subsidi bahan api kepada warga asing atas alasan mereka turut menyumbang kepada negara. Bagaimanapun, Muhyiddin menafikan tuduhan tersebut.
Anwar kemudian mengarahkan MCMC menyiasat isu berkenaan, khususnya terhadap sebuah video TikTok yang menjadi sumber dakwaan itu.
Perdana Menteri turut menyatakan kesediaan memohon maaf sekiranya laporan penuh MCMC mengesahkan maklumat tersebut tidak benar.
Untuk rekod, pada 7 Ogos lalu Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh dipanggil MCMC bagi memberi keterangan sebagai saksi. Sehingga kini, MCMC belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkembangan siasatan.







