KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menegaskan dakwaan yang tular di media sosial kononnya beliau mengeluarkan kenyataan tertentu adalah tidak benar sama sekali.
Menurut Fahmi, hantaran yang dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook menggunakan nama Datu Bentan Alamin adalah satu bentuk fitnah yang bertujuan mencetuskan kekeliruan rakyat.
“Saya tidak pernah sama sekali mengeluarkan kenyataan mahupun arahan seperti yang didakwa. Hantaran itu adalah fitnah,” katanya menerusi Facebook pada Sabtu.
Beliau memaklumkan bahawa satu laporan polis telah dibuat terhadap pemilik akaun terbabit, selain laporan turut dikemukakan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk siasatan lanjut.
Fahmi turut menggesa semua pihak agar berhenti menyebarkan fitnah serta tidak menunggang isu-isu sensitif demi kepentingan peribadi.
“Saya menyeru agar tiada mana-mana pihak menjadikan kes melibatkan Allahyarhamah Zara Qairina sebagai bahan manipulasi untuk meraih kepentingan politik,” tegasnya.
Terdahulu, pengguna media sosial itu memuat naik satu poster dengan gambar Fahmi dan kononnya kata-kata tersebut daripada Fahmi berbunyi “Saya telah mengarahkan semua pegawai untuk memantau dan menyekat konten media sosial terkait isu Zara Qairina Mahathir. Zara meninggal dunia bukan dibuli atau dibunuh.”
Kata-kata itu diakhiri dengan ‘tagline’ “Undilah Pakatan Harapan (PH) di PRN Sabah”.
Baca juga: