KLANG: Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, menjadi antara penerima darjah kebesaran sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang ke-80, dalam istiadat penuh adat di Istana Alam Shah, pada Khamis.
Fahmi dikurniakan Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (DPMS) yang membawa gelaran Datuk, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam bidang komunikasi dan perkhidmatan awam.
Beliau merupakan salah seorang daripada 16 penerima DPMS, bersama EXCO Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor, Datuk Rizam Ismail.
Istiadat pengurniaan darjah kebesaran itu disempurnakan sendiri oleh Sultan Selangor, dengan keberangkatan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, serta Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan isteri, Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz.
Dalam istiadat sama, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, mendahului senarai 98 penerima darjah dan bintang kebesaran serta pingat negeri.
Penganugerahan kepada beliau menzahirkan penghargaan terhadap peranan besar KSN dalam memperkukuh pentadbiran kerajaan dan perkhidmatan awam negara.
Anakanda Sultan Sharafuddin, Tengku Zerafina, turut mendahului senarai penerima darjah dan bintang kebesaran sempena ulang tahun keputeraan baginda yang ke-80.








