Fahmi gesa ibu bapa, guru hadkan media sosial dalam kalangan murid

LANGKAWI: Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menggesa agar guru dan ibu bapa menghentikan pendedahan awal kanak-kanak terhadap media sosial, terutama dalam kalangan murid tahap satu sekolah rendah.

Ketika hadir ke program Jelajah Kempen Internet Selamat Zon Utara di SK Ulu Melaka, beliau berkata perhatian murid sepatutnya diberikan kepada pendidikan serta aktiviti yang lebih sihat seperti sukan dan penyertaan dalam badan beruniform.

“Gunakan masa ini untuk tumpu pada pembelajaran dan aktiviti yang baik. Media sosial boleh tunggu bila mereka dah lebih matang dan tahu cara guna dengan selamat,” katanya.

Fahmi turut menegaskan risiko ketagihan media sosial dalam kalangan murid yang terlalu awal didedahkan kepada platform seperti TikTok, dan menyifatkannya sebagai ancaman terhadap proses tumbesaran.

“Kita risau bila anak-anak jadi terlalu bergantung pada media sosial. Kita tak nak nanti jadi kes buli siber sampai murid murung, tertekan, atau lebih buruk lagi seperti kes pelajar perempuan di India tahun lepas,” katanya lagi.

Menurut beliau, semua guru dari 21 sekolah rendah sekitar kawasan itu akan menerima latihan asas tentang kepentingan memantau dan mendidik murid agar tidak menggunakan media sosial secara bebas, khususnya bagi murid tahap satu.

“Saya juga minta guru besar dan pengetua jangan anggap biasa kalau pelajar sekolah rendah dah guna media sosial. Bila kita muat naik gambar dan maklumat anak-anak, syarikat besar akan simpan data mereka dari kecil sampai besar,” jelas Fahmi.

Beliau turut meminta Telekom Malaysia mempertimbangkan menaik taraf kelajuan internet di SK Ulu Melaka tanpa kos tambahan selama setahun.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat