Fahmi Hadiahkan Telefon Bimbit Baharu Buat 23 Wira GSF

SEPANG: Sebagai tanda penghargaan atas keberanian dan dedikasi mereka dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF), kesemua 23 sukarelawan Malaysia menerima sumbangan telefon bimbit baharu daripada Kementerian Komunikasi.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, sumbangan tersebut bertujuan memudahkan komunikasi dan urusan peribadi para sukarelawan sebaik sahaja kembali ke tanah air, selain membantu mereka terus berkongsi pengalaman dan maklumat misi melalui saluran komunikasi digital dengan lebih efisien.

“Sumbangan kecil itu adalah sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kerana telah mewakili rakyat Malaysia dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) serta memberikan informasi sepanjang berada di atas kapal,” katanya.

Sumbangan itu menyusuli insiden dramatik yang berlaku ketika misi GSF, apabila para sukarelawan terpaksa membuang telefon bimbit mereka ke laut sebagai langkah keselamatan sebelum ditahan secara paksa oleh tentera Israel.

Tindakan itu adalah sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) yang telah dilatih sebelum pelayaran.

Ketika menyambut kepulangan mereka di KLIA, Fahmi turut menyatakan bahawa kerajaan amat menghargai usaha para sukarelawan yang telah membawa suara Malaysia ke pentas dunia dalam memperjuangkan nasib rakyat Gaza.

Penerbangan Emirates EK342 yang membawa kesemua sukarelawan mendarat di KLIA pada pukul 10.07 malam, Selasa, disambut oleh pemimpin negara, wakil agensi kerajaan, NGO serta ahli keluarga yang menanti dengan penuh haru.

Anda Mungkin Berminat