Fahmi Hargai Peranan Media, Seru Terus Komited Amal Etika Kewartawanan

PETALING JAYA: Sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menzahirkan penghargaan kepada seluruh pengamal media atas sumbangan dalam menyampaikan maklumat.

Fahmi juga menyeru agar pengamal media untuk terus berpegang teguh kepada prinsip kewartawanan beretika selari dengan tanggungjawab membina masyarakat yang celik maklumat dan berintegriti.

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pengamal media atas jasa dan dedikasi yang tidak ternilai,”

“Teruskan komitmen dan amalan beretika dalam menyampaikan maklumat sahih, demi membina sebuah negara yang bermaklumat dan berintegriti,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Fahmi sebelum ini berkata, majlis prapelancaran sambutan HAWANA 2025 akan diadakan pada 3 Jun depan.

Pada majlis itu juga kata Fahmi, akan diumumkan tema serta logo sambutan kali ini yang bertujuan meraikan pengamal media di Malaysia.

Sejajar dengan Kepengerusian ASEAN 2025 tahun ini katanya, pelbagai media dari rantau Asia Tenggara akan dilibatkan dalam sambutan HAWANA.

Sambutan HAWANA 2025 akan diadakan pada 14 Jun ini dengan Kuala Lumpur sebagai tuan rumah.

Anda Mungkin Berminat