Fahmi minta penjelasan TikTok sekat 18 akaun portal berita

PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang berhubung dengan penyedia media sosial TikTok bagi mendapatkan penjelasan mengenai isu 18 akaun organisasi media tempatan yang disekat baru-baru ini, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Memetik Harian Metro, Fahmi berkata maklumat awal daripada pihak TikTok menyatakan akaun-akaun berkenaan disekat kerana membuat laporan berkaitan kes cabul di sebuah masjid di Batang Kali baru-baru ini yang membabitkan seorang kanak-kanak perempuan.

“Masalahnya adalah kecerdasan buatan (AI) TikTok itu sendiri, di sini sedikit amaran, AI kadangkala dia boleh jauh tersasar, dia tak faham bahawa organisasi media pelaporannya berbeza daripada kandungan yang dihasilkan oleh orang biasa.

“Jadi saya minta supaya satu perbincangan diadakan dalam tempoh terdekat untuk memperhalusi fungsi akaun-akaun TikTok yang dimiliki oleh media supaya tak dikenakan tindakan sedemikian rupa di masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan kursus AI in the Newsroom anjuran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), kursus pertama dalam siri program latihan berkaitan AI untuk profesional media.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat