PUTRAJAYA: Tuduhan kompaun ke atas syarikat pemegang lesen dalam kes membabitkan tiga penyampai radio bersifat berat sebelah sehingga menindas Islam telah disifatkan sebagai fitnah berniat jahat, kata Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil.
Menurut beliau, tuduhan itu tidak berasas dan menyimpang daripada fakta sebenar.
Beliau menjelaskan bahawa kompaun tersebut dikenakan ke atas Maestra Broadcast Sdn Bhd, syarikat yang mengendalikan stesen radio Era FM dan bukan terhadap stesen radio atau penyampai yang terlibat.
“Tuduhan kononnya hukuman yang dikenakan berat sebelah hingga menyebabkan agama Islam ditindas adalah fitnah berniat jahat yang tidak selari dengan realiti atau fakta,” katanya dalam sidang media pada Rabu.
Baru-baru ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengenakan kompaun RM250,000 terhadap Maestra Broadcast Sdn Bhd kerana memuat naik kandungan jelik di TikTok Era FM.
Kompaun itu dikeluarkan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang telah dipinda pada 11 Februari 2025 dengan kelulusan Jabatan Peguam Negara.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi menjelaskan bahawa kes melibatkan stesen radio, individu tertentu termasuk pelawak serta syarikat pengendali kedai serbaneka adalah tiga kategori berbeza.
“Contoh kes KK Mart, di mana siasatan dijalankan di bawah Kanun Keseksaan dan mahkamah mengenakan denda RM60,000.
“Sementara itu, dalam kes pelawak Harith Iskander dan Cecelia Yap, mereka didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia sebagai individu bukan syarikat.
“Timbalan Pendakwa Raya telah bersetuju mengenakan kompaun RM10,000 terhadap mereka tanpa membawa kes ke mahkamah,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa kesalahan berlaku sebelum pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia pada 11 Februari lalu.
“Sebelum pindaan, denda maksimum yang boleh dikenakan di mahkamah adalah RM50,000, manakala selepas pindaan, jumlah denda meningkat sehingga RM500,000,” katanya.