PETALING JAYA: Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil telah mengumumkan hasratnya untuk bertanding jawatan Naib Presiden PKR pada pemilihan parti yang akan berlangsung pada 24 Mei ini.
Menteri Komunikasi dan Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, keputusan dibuat selepas perbincangan dengan pemimpin dan rakan-rakan dalam parti serta penilaian terhadap peluang untuk menyumbang lebih banyak kepada parti itu.
“Penilaian dan perbincangan mendapati terdapat ruang untuk saya menabur bakti kepada parti dan juga setelah berbincang dengan cabang Lembah Pantai dan rakan-rakan di peringkat akar umbi ketika menjelajah ke negeri-negeri.
“Bila tiba masa nanti, insya-ALLAH saya akan menghantar pencalonan,” katanya memetik laporan media tempatan.
Kata Fahmi, pertandingan dalam PKR adalah seperti pertandingan dalam keluarga dan beliau berhasrat untuk bertanding secara sihat serta mengelakkan elemen-elemen yang tidak baik.
Untuk rekod, ini merupakan kali kedua beliau mencuba untuk jawatan ini selepas percubaan pertamanya pada pemilihan 2022.
Empat penyandang jawatan Naib Presiden PKR termasuk Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Nurul Izzah Anwar telah menyatakan akan mempertahankan jawatan mereka.