Fahmi Pertahan Tindakan Usir Bekas Pengendali Menara KL

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mempertahankan tindakan pesuruhjaya Tanah Persekutuan untuk menguatkuasakan pengusiran terhadap bekas pengendali Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB), lewat tengah malam tadi.

Fahmi mengulangi bahawa Menara Kuala Lumpur dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan dan pengurusan konsesi baru telah mengambil alih sejak 1 April lalu.

“Syarikat lama enggan keluar walaupun konsesi mereka tamat 31 Mac lalu.

“Maka Pesuruhjaya Tanah Persekutuan bertindak berdasarkan undang-undang sedia ada, termasuk Seksyen 425 Kanun Tanah Negara untuk memasuki premis Menara KL pada jam 12.30 tengah malam tadi.

“Kita telah melalui proses untuk memudahkan kemasukan konsesi baru itu,” katanya pada sidang media pada Khamis.

Sebelum ini, Kementerian Komunikasi mengumumkan Menara KL akan ditutup sementara kepada pengunjung mulai hari ini bagi menguatkuasakan pengambilalihan itu.

Fahmi berkata, penutupan sementara Menara KL bagi membolehkan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan, memandangkan terdapat kemudahan dan struktur dalam keadaan tidak baik.

“Menara KL kini berada dalam keadaan yang kurang memuaskan dan memerlukan kerja-kerja penyelenggaraan serta baik pulih sebelum ia boleh dibuka semula kepada orang awam.

“Pasukan dari kementerian bersama orang ramai yang baru-baru ini melawat Menara KL mendapati keadaan bangunan itu tidak berada dalam tahap yang baik.

“Berdasarkan video dan gambar yang kami terima, banyak kelengkapan, dapur, serta restoran berputar di menara itu berada dalam keadaan tidak baik dan tidak selesa untuk pengunjung.

“Malah, kami turut melihat ada bahagian pagar di dek pemerhatian yang terdedah dan diturunkan. Ini amat membimbangkan dan kita telah meminta syarikat pengendali baharu untuk segera melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan dan baik pulih, terutamanya melibatkan aspek keselamatan,” katanya.

Anda Mungkin Berminat