Fahmi Raih Undi Tertinggi MPP PKR, Akui Terkejut

Johor Bahru: Datuk Fahmi Fadzil mengakui terkejut selepas meraih undi tertinggi dalam pemilihan ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diumumkan secara rasmi malam tadi.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi tidak menjangkakan mendapat sebanyak 4,811 undi yang merupakan satu pencapaian yang disifatkan sebagai kejutan besar buat dirinya.

“Saya amat terkejut tetapi dalam masa yang sama amat bersyukur kerana diberi kepercayaan dan sokongan luar biasa daripada rakan-rakan serta ahli parti.

“Ini bukan kemenangan peribadi tetapi satu amanah besar yang saya dan seluruh barisan kepimpinan baharu perlu galas bersama,” katanya.

Fahmi ditemui pemberita selepas keputusan diumumkan sejurus selesai Perasmian Kongres Nasional Tahunan PKR di Pusat Konvensyen Persada Antarabangsa yang telah disempurnakan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, fokus utama kini adalah memperkukuh gerak kerja parti di semua peringkat sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Saya jangka rakan-rakan pimpinan akan ambil sedikit masa untuk turun ke kawasan masing-masing, menyantuni anggota dan masyarakat.

“Selepas itu, kita akan gerakkan jentera parti hingga ke akar umbi.

“Pesanan Datuk Seri Presiden (Anwar Ibrahim) juga jelas iaitu kita mesti kukuhkan hubungan pimpinan pusat dengan anggota akar umbi, dengar suara mereka dan bantu dalam apa juga isu yang mereka hadapi,” katanya.

Selain Fahmi, beberapa pemimpin lain turut berjaya merebut jawatan dalam pemilihan parti kali ini, termasuk Adam Adli Abd Halim (Timbalan Menteri Belia dan Sukan), Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad (Altimet), Dr Maszlee Malik.

Keputusan rasmi pemilihan bagi jawatan MPP ini telah diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, selepas perasmian kongres.

Anda Mungkin Berminat