Fahmi Reza tiba di Sabah, pegang poster provokasi Musa Aman

PETALING JAYA: Pereka grafik dan aktivis politik dari Semenanjung Malaysia, Fahmi Reza tiba di Kota Kinabalu, Sabah pagi ini dan berkongsi status semasa di Facebooknya.

Dalam perkongsian tersebut, Fahmi memuat naik gambar dirinya memegang poster provokasi berbentuk ‘penghinaan’ terhadap Tuan Yang Terutama (TYT) yang baharu, Tun Musa Aman di hadapan bangunan sebuah bank di Jalan Pantai.

“Selamat pagi Sabah! Aku dah sampai KK (Kota Kinabalu) bersama (poster) Koruptor No. 1 Sabah! ” tulis Fahmi dalam perkongsiannya.

Namun, tidak dapat dipastikan sama ada kedatangan Fahmi ke Sabah adalah untuk menyertai himpunan yang dianjurkan oleh sekumpulan mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 31 Disember ini.

Terdahulu, Tun Musa Aman dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah ke-11 setelah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dalam satu majlis di Istana Negara pada 17 Disember lalu.

Musa Aman yang juga bekas Ketua Menteri Sabah paling lama berkhidmat, menggantikan Tun Juhar Mahiruddin yang memegang jawatan tersebut sejak 2011.

Anda Mungkin Berminat