Fahmi ucap takziah atas pemergian seniwati Sophia Ibrahim

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga seniwati legenda, Allahyarham Sophia Ibrahim yang meninggal dunia malam tadi.

Menerusi satu hantaran di platform Facebook, Fahmi menyifatkan Allahyarham sebagai seorang bintang seni unggul yang banyak menyumbang kepada perkembangan dunia perfileman Melayu sejak era 1960-an.

“Sepanjang perjalanan kerjayanya, beliau bukan sahaja menyerikan pentas lakonan malah turut membentuk warisan yang begitu bermakna dalam khazanah sinema Melayu.

“Saya pasti pemergian beliau amat dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia, khususnya para peminat filem Melayu dan seni budaya,” katanya.

Allahyarham Sophia, 77, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 7.15 malam di sebuah pusat rawatan di Ampang akibat sesak nafas. Difahamkan, beliau mengalami sesak nafas ketika menghadiri sebuah program di Hotel Grand Barakah sebelum dikejarkan ke hospital.

Sophia atau nama sebenarnya Safiah Ibrahim merupakan antara pelakon wanita yang menyerlah pada era keemasan filem Melayu.

Beliau memulakan kerjaya lakonan sejak usia 15 tahun menerusi filem Ragam P. Ramlee (1964), sebelum terus aktif dalam pelbagai filem terkenal seperti Dr Rushdi, Pontianak Harum Sundal Malam, Cinta 200 Ela dan Puteri Impian.

Allahyarham juga merupakan kakak kepada penyanyi popular 1980-an, Datuk Khadijah Ibrahim (Khaty) manakala adik lelakinya yang juga penyanyi dan pelakon 1970-an, Latif Ibrahim meninggal dunia pada 2012.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat