PETALING JAYA: Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil meluangkan masa menziarahi tokoh masyarakat, Datuk Muthoovaloo Komarasmy yang kini sedang menjalani rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas mengalami strok ringan.
Kunjungan tersebut bukan sekadar lawatan biasa tetapi satu tanda solidariti dan penghargaan terhadap sumbangan berterusan Muthu kepada masyarakat.
Fahmi dalam satu hantaran di Facebook menyatakan harapan agar beliau segera pulih dan kembali sihat seperti sediakala.
“Datuk Muthu banyak menyumbang dalam pelbagai gerak kerja masyarakat termasuk bantuan peralatan elektrik kepada mangsa banjir Kampung Pasir pada tahun 2021.
“Semoga beliau terus kuat menjalani rawatan,” katanya.
Dalam pertemuan itu, Fahmi turut mengenang jasa Muthu yang sentiasa komited membantu masyarakat khususnya ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau menyifatkan sokongan dan sumbangan Muthu dalam pelbagai program sebagai bukti keprihatinan mendalam terhadap kebajikan rakyat.
Pada tahun 2021, Muthu tampil membantu mangsa banjir besar di Kampung Pasir dengan menyediakan bantuan peralatan elektrik kepada keluarga yang terjejas.
Dalam PRU15 pula, beliau memainkan peranan penting dalam memperkukuh jentera pilihan raya, menunjukkan semangat juang dan kesetiaan terhadap perjuangan rakyat.








