Oleh: Nadhirah Akmam
PETALING JAYA: Anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Putrajaya, Dr Muhammad Faiz Na’aman mencabar bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya mengambil tindakan undang-undang terhadap Yahoo Finance UK susulan laporan antarabangsa yang kembali mendakwa beliau memiliki kekayaan luar biasa.
Faiz yang juga bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu berkata, laporan portal Love Money yang turut diterbitkan MSN dan Yahoo Finance UK sejak September lalu kembali menimbulkan persoalan mengenai jumlah aset yang dikaitkan dengan Mahathir dan keluarganya.
Beliau berkata, ketika ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah menjalankan siasatan terhadap beberapa aset dipercayai milik keluarga Mahathir di luar negara termasuk di United Kingdom dan Switzerland.
Pada Januari lalu, SPRM turut mengesahkan dua anak Mahathir memiliki harta melebihi RM1.2 bilion membabitkan pegangan aset dan saham.
Faiz turut mengingatkan bahawa Mahathir sebelum ini pernah menafikan sebarang salah laku susulan pendedahan Pandora Papers dan Panama Papers pada 2021, yang turut menyenaraikan nama anaknya Mirzan serta bekas Menteri Kewangan era beliau, Allahyarham Tun Daim Zainuddin.
“Jika benar dakwaan itu fitnah, saya mencabar Tun Dr Mahathir menyaman Love Money, MSN dan Yahoo Finance UK bagi membersihkan nama beliau,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit.
Beliau turut mempersoalkan mengapa Mahathir masih berdiam diri dan tidak membidas laporan portal antarabangsa berkenaan meskipun dakwaan itu telah menular semula.
Untuk rekod, isu kekayaan keluarga Mahathir beberapa kali menjadi perhatian sejak pendedahan Pandora Papers pada 2021, yang turut membawa kepada siasatan SPRM terhadap beberapa tokoh politik termasuk Allahyarham Tun Daim Zainuddin.








