Fakulti AI diaspirasikan PM bakal dirasmikan 10 Mei ini

Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) pertama negara ini bakal dirasmikan 10 Mei ini, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata, acara perasmiannya akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur dan dijangka disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Di peringkat permulaan, Fakulti Kecerdasan Buatan bermula di UTM (Universiti Teknologi Malaysia) dan terdapat juga konsortium dengan universiti yang lain juga.

“Ini sebagai permulaan kerana kalau kita mahu jadikan fakulti itu (AI) benar-benar fakulti yang mempunyai kualiti yang baik kita boleh mendapatkan kepakaran-kepakaran yang ada di universiti lain untuk turut bersama menjayakan penubuhan fakulti ini,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Jom Masuk U (JMU) 2024 di Universiti Teknologi Mara kampus cawangan Seri Iskandar di Johor, pada Sabtu.

Tedahulu, semasa berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI peringkat Kedah di Jitra, Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa banyak pelabur berminat melabur di Kulim Hi-Tech Park yang menuntut negara menyediakan sumber tenaga yang berkemahiran dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Ini keadaannya, sebab itu saya rasa bagi kita Kerajaan Persekutuan dan negeri tumpukan ini… kita berdepan cabaran menyediakan tenaga kerja yang cukup, kejuruteraan, TVET dan AI.

“Pada 10 hari bulan ini, saya akan lancarkan Fakulti AI pertama di Malaysia. Saya nak anak-anak muda kita punyai kepakaran serta kemahiran dan akan selaraskan dengan universiti di seluruh Malaysia supaya kita tidak ketinggalan dalam bidang AI,” katanya.

Anda Mungkin Berminat