FAM Akan Fail Rayuan Keputusan FIFA Isu Kelayakan Tujuh Pemain Harimau Malaya

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan telah menerima dokumen penghakiman penuh daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung keputusan tatatertib melibatkan isu dokumentasi kelayakan tujuh pemain kebangsaan.

FAM dalam kenyataan berkata, pihaknya akan mengemukakan rayuan rasmi melalui saluran undang-undang yang ditetapkan sebaik semua bukti sokongan dan dokumen lengkap dikemukakan kepada FIFA.

Menurut FAM, pihaknya memandang serius beberapa kesimpulan dalam keputusan tersebut, termasuk dakwaan bahawa pemain memperoleh dokumen palsu atau cuba mengelak peraturan kelayakan.

“FAM menegaskan bahawa tiada sebarang bukti dikemukakan oleh FIFA bagi menyokong dakwaan ini. Semua dokumentasi pemain disediakan dan disahkan sepenuhnya oleh FAM mengikut prosedur yang ditetapkan,” jelas kenyataan itu pada Selasa.

FAM turut menegaskan para pemain bertindak dengan niat baik dan bergantung sepenuhnya kepada proses pendaftaran rasmi yang dijalankan oleh badan induk tersebut.

“FAM berpandangan penggambaran yang dibuat adalah tidak tepat dan tidak adil. Perkara ini akan dibangkitkan sepenuhnya dalam proses rayuan rasmi,” katanya.

FAM juga memaklumkan bahawa kes tersebut turut melibatkan maklumat rasmi berkaitan prosedur kerajaan dalam pengeluaran dan pengesahan pasport yang tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Pasport 1966.

Isu ini timbul selepas FIFA dilaporkan menjalankan siasatan terhadap kelayakan beberapa pemain naturalisasi Malaysia yang mewakili skuad Harimau Malaya dalam kejohanan antarabangsa. FAM bagaimanapun menegaskan komitmen penuh untuk mempertahankan hak pemain dan maruah bola sepak negara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat