KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan akan membawa kes berkaitan status kelayakan tujuh pemain warisan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) selepas rayuan mereka ditolak oleh FIFA.
Dalam kenyataan rasmi, FAM menjelaskan keputusan itu dibuat bagi memastikan keadilan ditegakkan serta menjaga integriti proses kelayakan pemain yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia dan badan-badan berkaitan.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff berkata, pihaknya komited memperjuangkan hak semua pemain yang layak mewakili negara dengan setiap tindakan dijalankan secara profesional, telus dan mengikut saluran undang-undang.
“Langkah ini diambil untuk mempertahankan hak pemain dan integriti proses kelayakan.
“Kami akan pastikan tindakan diambil secara profesional dan telus,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Kes berprofil tinggi itu kini memasuki fasa baharu dengan perhatian peminat bola sepak tempatan tertumpu kepada keputusan seterusnya daripada CAS yang bakal menentukan hala tuju masa depan pemain warisan serta reputasi bola sepak Malaysia di pentas antarabangsa.








