FAM Dipantau Selama Dua Tahun – AFC

KONFEDERASI Bola Sepak Asia (AFC) akan memantau Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) secara rapi selama dua tahun bagi memastikan proses reformasi dan penstrukturan semula badan induk bola sepak negara itu berjalan seperti dirancang.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John berkata, FAM diwajibkan mengemukakan laporan prestasi setiap tiga bulan sebagai sebahagian daripada mekanisme pemantauan yang ditetapkan AFC.

Menurut beliau, langkah itu susulan penemuan beberapa kelemahan tadbir urus hasil audit menyeluruh yang dijalankan AFC terhadap FAM.

“FAM perlu menghantar laporan kemajuan setiap tiga bulan dan AFC akan terus memantau pelaksanaan reformasi ini dalam tempoh dua tahun akan datang,” katanya selepas Kongres Luar Biasa FAM di sini pada Khamis.

Beliau berkata, audit berkenaan turut mendedahkan beberapa isu pengurusan termasuk kegagalan membentangkan bajet kepada perwakilan sejak beberapa tahun lalu berikutan pindaan statut terdahulu.

Katanya, ketelusan dalam pengurusan kewangan merupakan hak asas perwakilan dan perlu dipulihkan bagi memperkukuhkan tadbir urus organisasi.

Susulan itu, Kongres Luar Biasa FAM meluluskan pindaan terhadap 11 artikel dalam statut badan berkenaan bagi memperbetulkan kelemahan yang dikenal pasti.

Dalam masa sama, AFC turut mengesan budaya kerja yang kurang sihat dalam organisasi FAM, termasuk kebimbangan kakitangan untuk menyuarakan pandangan kerana takut berdepan tindakan balas daripada pihak atasan.

Bagi menangani perkara itu, AFC akan memperkasakan peranan pegawai profesional dalam pentadbiran FAM, termasuk memberi lebih tanggungjawab kepada pengarah jabatan berbanding pengerusi jawatankuasa.

“Apabila sesebuah organisasi melantik profesional untuk menguruskan operasi, mereka perlu diberikan ruang dan kuasa yang sewajarnya untuk menjalankan tugas,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat