PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Kerajaan Malaysia atas bantuan dan sokongan penuh yang diberikan kepada skuad Harimau Malaya, susulan kemenangan bergaya 4-0 ke atas Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
Menurut kenyataan FAM, selain bantuan kewangan menerusi peruntukan khas, kerajaan turut memainkan peranan penting sebagai pemudah cara dalam meluluskan dokumentasi pemain-pemain warisan baharu, sekali gus membolehkan mereka beraksi dalam perlawanan kedua Kumpulan F, Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2027.
“Sokongan padu daripada kepimpinan tertinggi negara dan para penyokong amat dihargai. Kami berharap semangat ini akan berterusan bagi memastikan Harimau Malaya terus menunjukkan prestasi cemerlang di pentas antarabangsa dan menjadi antara pasukan gergasi Asia,” menurut kenyataan itu pada Rabu.
Dalam aksi penuh bertenaga di hadapan lebih 60,000 penyokong, Malaysia menamatkan kemarau 11 tahun tanpa kemenangan ke atas Vietnam dengan empat jaringan menerusi Jodo Figueiredo (minit ke-49), Rodrigo Holgado (59’), Corbin Ong (67’) dan Dion Cools (89’).
Kemenangan itu meletakkan Malaysia di kedudukan teratas Kumpulan F dengan enam mata, meninggalkan Vietnam di tangga kedua dengan tiga mata.
Baca juga: