PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan telah menerima keputusan berkuat kuasa daripada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berhubung rayuan yang difailkan bersama tujuh pemain terbabit.
Dalam kenyataan media pada Jumaat, FAM berkata, rayuan yang dikemukakan oleh badan induk bola sepak negara itu ditolak, manakala rayuan para pemain diterima sebahagiannya dengan hukuman dipinda.
Namun begitu, tujuh pemain berkenaan tetap tidak dibenarkan beraksi selama lapan bulan lagi.
“Rayuan FAM telah ditolak manakala rayuan para pemain diterima sebahagiannya dengan hukuman dipinda, namun mereka masih tidak dibenarkan bermain selama lapan bulan lagi,” kata kenyataan itu.
FAM berkata, pihaknya menghormati bidang kuasa CAS sebagai badan timbang tara tertinggi dalam sukan, namun berpendapat hukuman yang dikenakan kelihatan tidak seimbang berbanding beberapa kes serupa yang pernah diputuskan sebelum ini.
“FAM menghormati bidang kuasa CAS, namun FAM berpendapat bahawa hukuman yang dikenakan kelihatan tidak seimbang terutamanya apabila dibandingkan dengan hukuman dalam kes-kes serupa yang pernah diputuskan oleh CAS,” katanya.
Difahamkan, sepanjang prosiding berlangsung, FAM turut mengakui tanggungjawab terhadap kegagalan penyeliaan yang berlaku.
Siasatan oleh agensi kerajaan Malaysia serta Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) masih berjalan dan FAM memberi jaminan akan terus memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berkaitan.
Menurut FAM, keputusan tersebut amat mengecewakan khususnya kepada para pemain yang terlibat.
“Keputusan ini amat mengecewakan khususnya bagi para pemain.
“Mereka tidak terlibat dalam proses pentadbiran dan tidak mempunyai pengetahuan mengenai perkara-perkara berkaitan pentadbiran,” katanya.
FAM turut menegaskan bahawa pemain terbabit adalah warganegara Malaysia yang telah dianugerahkan kewarganegaraan mengikut peruntukan undang-undang negara.
Dalam masa sama, FAM merakamkan penghargaan kepada para penyokong bola sepak tanah air yang terus memberikan sokongan sepanjang tempoh sukar ini.
“Pasukan kebangsaan kekal fokus terhadap objektifnya dan akan terus berusaha keras demi bola sepak Malaysia,” katanya.








