KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan akan membuat laporan polis berhubung dakwaan pemalsuan dokumen melibatkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya, selaras dengan saranan Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC).
Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, keputusan itu dicapai selepas Mesyuarat Khas EXCO di Wisma FAM, sebentar tadi.
“Kita mahu siasatan menyeluruh mengenai bagaimana pemalsuan ini boleh berlaku dan siapa yang bertanggungjawab,” katanya pada sidang media.
Menurut beliau, laporan polis itu akan memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menyiasat kes pemalsuan dokumen rasmi yang dihantar kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Terdahulu, kontroversi ini tercetus selepas IIC menyiapkan laporan penuh siasatan terhadap dakwaan pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan.
Jawatankuasa itu menegaskan bahawa pemalsuan dokumen rasmi adalah satu kesalahan jenayah di bawah undang-undang Malaysia.
Selain laporan polis, IIC turut mencadangkan agar FAM memulakan prosiding tatatertib dalaman terhadap Setiausaha Agung badan induk itu bagi memastikan proses disiplin dijalankan mengikut peraturan.
IIC juga menekankan kepentingan reformasi tadbir urus dalam FAM termasuk langkah pengawasan, pencegahan dan pemulihan kredibiliti badan induk bola sepak negara.
Langkah itu dilihat penting untuk mengelakkan isu sama berulang pada masa hadapan serta memulihkan keyakinan penyokong terhadap integriti bola sepak Malaysia.








